Khamis, 27 Ogos 2015 | 7:00pm

7 murid Orang Asli SK Pos Tohoi belum ditemui

GUA MUSANG: Tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Tohoi di sini yang hilang di kawasan hutan sejak Ahad lepas, masih belum ditemui dan gerakan mencari yang masuk hari kedua hari ini diteruskan.

Seramai 74 anggota Jabatan Relawan Malaysia (RELA) dan penduduk Orang Asli termasuk keluarga murid berkenaan meneruskan operasi mencari seawal 7 pagi hari ini.

Tujuh murid berkenaan iaitu enam perempuan dan seorang lelaki berasal dari Kampung Pos Tohoi, Gawing, Penat, Sedal, simpol, Jadil dan Langsat. Semua mereka tinggal di asrama sekolah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Saiful Bahri Abdullah, dilaporkan berkata murid berkenaan melarikan diri ke dalam hutan terbabit kerana takut diambil tindakan oleh guru selepas mandi di sungai berhampiran sekolah tanpa kebenaran.

Seorang guru sekolah terbabit telah membuat laporan polis mengenai kehilangan murid berkenaan pada 2.25 pagi kelmarin.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di Pos Tohoi hari ini, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Gua Musang, Marakas Medee Che Ab Rahman, berkata penduduk kampung, guru, ibu bapa dan anggota RELA bekerjasama mengesan tujuh murid yang hilang itu.

Beliau berkata, kejadian itu turut mendukacitakan pihaknya dan sekolah itu kerana sehingga sekarang mereka belum ditemui.

Katanya, pihak sekolah belum mengambil sebarang tindakan disiplin terhadap mereka walaupun menyedari pelajar itu mandi di sungai tanpa kebenaran.

"Pihak sekolah juga bukan lewat untuk membuat laporan polis berhubung kejadian itu kerana kejadian berkenaan dikesan pada pagi Ahad dan guru bersama penduduk kampung mencari dahulu mereka di rumah atau tempat yang menjadi kebiasaan mereka berkumpul.

"Disebabkan hari Isnin tidak jumpa juga, baru guru sekolah itu ke bandar Gua Musang, tiba pukul 12.30 malam di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang sebelum siap membuat laporan polis pukul 2.25 pagi pada 26 Ogos (Selasa)," katanya.

Marakas Medee berkata, keluarga murid terbabit juga telah dimaklumkan berhubung kejadian itu dan mereka bersama-sama mencari murid-murid itu.

"Mereka sebenarnya mandi di sungai pada pukul 3 petang Sabtu, seramai 25 murid, tetapi setelah dikesan warden sekolah. Semua mereka pulang semula ke asrama dan hanya tujuh murid terbabit yang takut dikenakan tindakan keluar semula dari asrama tanpa kebenaran untuk melarikan diri dipercayai pada pagi Ahad," katanya.

Katanya, tujuh murid terbabit tidak hadir ke kelas pada Ahad.

Bapa seorang murid, Sobrie Latip, 25, berkata beliau risau dengan keadaan anaknya, Sasa, 8, yang turut hilang bersama enam rakan di kawasan hutan.

Katanya, anak sulung daripada empat beradik itu tidak pernah mengambil tindakan melarikan diri dari sekolah atau rumah, tetapi kejadian ini mungkin terpengaruh dengan rakan-rakan yang mengajaknya ikut sama.

"Saya sendiri sudah memasuki kawasan hutan bersama penduduk lain dan anggota RELA sejak pagi semalam lagi, tetapi tidak menjumpai sebarang kesan yang mereka melalui kawasan hutan berkenaan.

"Walaupun rasa sedih dengan kehilangan anak, namun saya tetap mencarinya bersama anggota keselamatan hari ini ke kawasan hutan yang lebih jauh sedikit," katanya.

Seorang lagi bapa, Ayel Ajip, 42, pula meminta pihak berkuasa supaya mengumpulkan anggota keselamatan lebih ramai untuk mencari murid-murid terbabit.

Beliau mengakui setakat ini hanya penduduk kampung bersama anggota RELA sahaja yang melakukan gerakan mencari tujuh murid yang hilang itu dan sukar ditemui.

"Kita bimbang tujuh murid itu mungkin kelaparan kerana telah lima hari hilang di hutan tanpa membawa sebarang bekalan makanan," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X