Isnin, 14 September 2015 | 10:29am

Seorang nelayan lemas, seorang hilang bot karam di Labuan

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Adzhar Othman
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Adzhar Othman

LABUAN: Seorang nelayan lemas dan seorang lagi hilang selepas bot mereka karam di perairan Nagalang, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian itu, seorang lagi nelayan terselamat selepas berpaut pada mayat rakannya.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Adzhar Othman, berkata dalam nahas itu jam 2.50 petang, bot terbabit dipercayai hilang imbangan sebelum terbalik mengakibatkan ketiga-tiga nelayan berkenaan jatuh ke laut.

Katanya, pada jam 6.05 petang, sebuah bot pancing yang lalu di perairan itu menemui mangsa yang selamat sedang memaut pada mayat rakannya sebelum dia diselamatkan.

"Mangsa yang selamat dan mayat rakannya dibawa ke Jeti Marin, Wilayah Persekutuan Labuan sebelum dihantar ke hospital.

"Operasi mencari seorang lagi mangsa masih giat dijalankan," katanya di sini sebentar tadi.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali Haris Harun berusia 40-an dari Tanjung Aru di sini, manakala mangsa hilang ialah warga Indonesia dikenali sebagai Norton, 30-an, dan yang terselamat ialah Mikal Andryk, 34, juga warga Indonesia.

Adzhar berkata, operasi mencari dijalankan polis bersama Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Laut Labuan.

Berita Harian X