Isnin, 14 September 2015 | 4:06pm

3 nelayan Sarawak hilang, bot karam di perairan Indonesia - APMM

SANTUBONG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sarawak mengesahkan tiga nelayan Malaysia hilang dalam kejadian bot karam di Perairan Indonesia, kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Datu, Sematan di sini, Jumaat lalu.

Identiti ketiga-tiga nelayan terbabit dikenal pasti sebagai sebagai Ahmad Tarmizi Kipli, 35; Awang Izam Abdullah, 23, dan Jamil Saberan, 47.

Difahamkan, semua mereka yang juga nelayan laut dalam berasal berasal dari Beladin, Pusa dalam Bahagian Sri Aman.

Ketua Penguatkuasa APMM Wilayah Sarawak, Laksamana Pertama Ismaili Bujang Pit, berkata empat lagi rakan mangsa diselamatkan bot peronda Polisi Air (POLAIR) Indonesia yang kebetulan menjalankan operasi di lokasi kejadian.

Katanya, keempat-empat nelayan yang selamat kini ditahan di Pangkalan POLAIR Indonesia di Pontianak, Kalimantan Barat untuk tindakan lanjut.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini sedang giat dilaksanakan POLAIR Indonesia, malah kita bersedia membantu jika diperlukan," katanya pada sidang media di Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS), Muara Tebas di sini, sebentar tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang Jumaat lalu, sebuah bot nelayan Malaysia membawa seorang juragan dan enam awak-awak dilaporkan karam selepas bocor di kawasan Perairan Indonesia.

Ismaili berkata, bot malang berkenaan dipercayai tersesat ke kawasan perairan negara jiran sejauh enam batu nautika sebelum dikejar bot peronda POLAIR Indonesia, Antasena 7006.

"Menyedari kehadiran bot peronda Indonesia, bot terbabit melarikan diri dan dikejar pihak berkuasa negara jiran kira-kira sejam sebelum bot itu karam kerana bocor pada bahagian lambung kanan bot.

"Bagaimanapun, kita belum dapat mengesahkan dakwaan bot berkenaan dilanggar bot ronda Indonesia sehingga mengakibatkan ia karam di perairan Indonesia," katanya.

Berita Harian X