Selasa, 15 September 2015 | 6:07pm

Dua beradik, rakan didakwa ubah wang haram

KUALA LUMPUR: Dua adik-beradik dan rakan mereka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram membabitkan jumlah RM166,280 tahun lepas.

Chua Chong Mun, 25, dan abangnya, Chua Chong Hooi, 29, masing-masing bekerja sebagai penasihat pelaburan di sebuah syarikat dan penganggur Low Chin Tee, 30, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan tiga hakim berasingan.

Di hadapan Hakim Abdul Rashid Daud, Chong Mun didakwa atas enam pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima wang ke dalam akaun Maybank Berhad miliknya berjumlah RM73,800 melalui mesin deposit tunai, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Tertuduh juga didakwa terhadap satu lagi pertuduhan iaitu memindahkan RM7,700 daripada akaun Maybank Berhad miliknya ke dalam akaun Maybank milik Low.

Sementara itu, di hadapan Hakim Norsharidah Awang, Chong Hooi didakwa atas empat pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu menerima wang ke dalam akaun Maybank Berhad miliknya berjumlah RM77,080 melalui mesin deposit, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Manakala di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah, Low didakwa melakukan perbuatan sama iaitu menerima wang sebanyak RM7,700, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, daripada akaun Maybank milik Chong Mun.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Berhad Cawangan Jalan Kuchai Lama dan Maybank Berhad Cawangan Sri Petaling di sini antara 16 Mei 2014 dan 20 Ogos 2014.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Chong Mun dibenarkan diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin bagi tujuh pertuduhan manakala Chong Hooi diikat jamin RM30,000 bagi empat pertuduhan dan Chin Tee pula diikat jamin RM10,000.

Mahkamah juga memerintahkan semua tertuduh menyerahkan pasport masing-masing sehingga kes selesai dan menetapkan 15 Oktober ini untuk sebutan semula bagi ketiga-tiga kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie Hashim.

Pasangan adik beradik itu diwakili peguam Awangku Mohd Shaiful Nizam Pangeran Mohd Noor, manakala Low diwakili Ikram Ibrahim.

- BERNAMA

Berita Harian X