Jumaat, 25 September 2015 | 8:32pm
MUHAMMAD Zamanqusyairi Ismail, maut selepas dipanah petir di dalam Bangsal Kambing di Kampung Pak Katak, Batu Enam. - Foto ASWADI ALIAS
MUHAMMAD Zamanqusyairi Ismail, maut selepas dipanah petir di dalam Bangsal Kambing di Kampung Pak Katak, Batu Enam. - Foto ASWADI ALIAS

Pelajar maut, 3 sepupu cedera dipanah petir

TEMPAT kejadian Muhammad Zamanqusyairi Ismail, maut dipanah petir di bangsal kambing di Kampung Pak Katak, Batu Enam. - Foto ASWADI ALIAS
TEMPAT kejadian Muhammad Zamanqusyairi Ismail, maut dipanah petir di bangsal kambing di Kampung Pak Katak, Batu Enam. - Foto ASWADI ALIAS

KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar Tingkatan Tiga maut, manakala tiga lagi sepupunya cedera akibat terkena panahan petir ketika sedang membuat perangkap belut di sebuah bangsal kambing di Kampung Pak Katak, Batu Enam di sini, hari ini.

Kejadian jam 4.10 petang itu menyebabkan Mohd Zamaqusyairi Ismail, mengalami lebam di kedua belah dada dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Tiga lagi sepupunya, Mohd Syawal Zakaria, 14, cedera di kaki, Khairi Fatullah Zaid, 20, cedera di kepala dan kabur penglihatan manakala Samsul Mohd Nor, 32, hanya cedera ringan.

Ibu Mohd Zamaqusyairi, Azizah Daud, 38, berkata ketika kejadian dia bersama suami dan tiga anaknya ke rumah adik iparnya yang terletak berdekatan untuk menghadiri majlis cukur jambul.

"Saya hanya tahu mengenai kejadian selepas dihubungi anak saudara. Saya terkejut lalu segera pulang ke rumah. Namun, Mohd Zamaqusyairi sudah tiada.

"Dia ke bangsal kambing di belakang rumah kami bersama tiga sepupunya membuat perangkap belut untuk menangkap ikan itu di paya berhampiran rumah.

"Namun tidak sangka pula ditimpa tragedi ini. Ketika kejadian hujan sangat lebat dan angin juga kencang. Siapa tidak sedih kehilangan anak ketika kita menyambut Aidiladha, namun kami sekeluarga reda," katanya.

Berita Harian X