Selasa, 29 September 2015 | 2:10pm
DR Mohamad Khir Toyo dibawa dengan kenderaan polis ke Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan Putrajaya menolak rayuannya supaya hukuman dilakukan dalam bentuk menjalani program khidmat masyarakat dan mengekal hukuman 12 bulan penjara. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Hukuman 12 bulan penjara Khir Toyo kekal

MAHKAMAH Persekutuan mengekalkan hukuman 12 bulan penjara terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo. - Foto BERNAMA
MAHKAMAH Persekutuan mengekalkan hukuman 12 bulan penjara terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman 12 bulan penjara terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo yang didapati bersalah mendapatkan untuk dirinya dan isteri dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7, Shah Alam lapan tahun lalu.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin bersama-sama Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Ramly Ali membuat keputusan itu sebentar tadi.

Panel membuat keputusan itu selepas memutuskan hukuman penjara adalah paling sesuai dalam kes berkenaan manakala hukuman khidmat kerja masyarakat adalah tidak memadai.

Dr Mohamad Khir kelihatan tenang ketika hukuman itu dibacakan.

DR Mohamad Khir keluar dari lokap polis Istana Kehakiman, Putrajaya untuk di bawa ke Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman 12 bulan penjara terhadapnya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Pada 22 September lalu, panel itu mengekalkan sabitan bersalah terhadap Dr Mohamad Khir selepas menolak rayuannya.

Mahkamah turut mengekalkan keputusan melucut hak hartanah itu dan diserahkan kepada kerajaan tertakluk kepada caj oleh pihak bank.

Dr Mohamad Khir sebelum ini dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Disember 2011 dan hukuman itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 30 Mei 2013.

Melalui penghakiman dibacakan Kok Wha pada 22 September lalu, panel mencapai keputusan itu berdasarkan beberapa alasan antaranya pertuduhan yang dibuat ke atas Dr Mohamad Khir tidak mempunyai sebarang kecacatan dan beliau selaku menteri besar, adalah seorang penjawat awam ketika kesalahan itu dilakukan.

Dr Mohamad Khir dituduh mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, 50, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8 & 10, Jalan Suasa, Jalan Suasa 7/1L di sini daripada Ditamas Sdn Bhd melalui Pengarahnya, Datuk Shamsuddin Hayroni.

Hartanah itu dibeli pada harga RM3.5 juta sedangkan Ditamas membayar RM6.5 juta untuk hartanah itu pada 23 Disember 2004.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 Shah Alam pada 29 Mei 2007.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

.

Dr Mohamad Khir, menjadi Menteri Besar Selangor dari Ogos tahun 2000 hingga Februari 2008.

Beliau yang berada dalam keadaan berdiri dalam kandang tertuduh, kelihatan tenang semasa mahkamah menjatuhkan hukuman itu.

Mahkamah penuh sesak dengan anggota keluarga, orang ramai dan wakil media. Isteri beliau, Zahrah, 50, turut hadir.

Berita Harian X