Selasa, 29 September 2015 | 8:25pm

Suami isteri melecur kebakaran rumah teres

PARIT BUNTAR: Sepasang suami isteri melecur dalam kebakaran membabitkan dua rumah teres di Jalan Semarak 9, Taman Seri Semarak di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu, 18 peratus daripada tubuh lelaki berkenaan melecur iaitu di bahagian hadapan dan belakang badan, kedua-dua tangan serta muka manakala isterinya hanya melecur di tangan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5 petang bergegas ke tempat membabitkan pasukan bomba dan penyelamat Parit Buntar dengan bantuan pasukan dari Bagan Serai serta Pasukan Bomba Sukarela Nibong Tebal, Parit Buntar dan Bagan Serai.

"Sebaik pasukan kami tiba diketuai Ketua Operasi, Mohd Nor Amin Abd Mubin, kami mendapati berlaku kebakaran membabitkan dua rumah jenis kelas A di mana sebuah rumah musnah terbakar 80 peratus manakala sebuah rumah terbakar lima peratus di bahagian bumbung," katanya di sini malam ini.

Beliau berkata, terdapat dua mangsa pasangan suami isteri melecur tetapi ketika pasukan itu tiba di lokasi kejadian, kedua-duanya sudah dihantar orang ramai ke Hospital Parit Buntar.

Katanya, anggota bomba bertindak memadamkan kebakaran dengan menggunakan tiga pancutan bersumberkan air dari pili bomba berhampiran sehingga api dapat dipadamkan sepenuhnya dan operasi tamat pada jam 6.16 petang.

Berita Harian X