Rabu, 7 Oktober 2015 | 11:31am

Rasuah: Buruh Rohingya dipenjara 6 bulan, denda RM10,000

SEORANG buruh binaan Rohingya dari Myanmar, Mohamad Babul Abd Satar, 27, (tengah) dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, selepas didapati bersalah memberi rasuah RM100 kepada pegawai Imigresen dari Jabatan Imigresen Melaka. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
SEORANG buruh binaan Rohingya dari Myanmar, Mohamad Babul Abd Satar, 27, (tengah) dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, selepas didapati bersalah memberi rasuah RM100 kepada pegawai Imigresen dari Jabatan Imigresen Melaka. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

AYER KEROH: Bahana kerana cuba memberi suapan RM100 kepada pegawai Jabatan Imigresen Melaka, seorang buruh binaan warga Myanmar dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Amran Jantan turut memerintahkan Mohamad Babul Abd Satar, 27, berbangsa Rohingya, dipenjara enam bulan lagi sekiranya tertuduh gagal membayar denda itu.

Tertuduh didakwa memberi suapan itu kepada Pegawai Imigresen, Muhammad Aizat Ab Rahim daripada Jabatan Imigresen Melaka sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadapnya atas kesalahan tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.

Mohamad Babul didakwa melakukan kesalahan itu di tapak projek pembinaan sebuah apartmen servis PT20998 dan PT20999 (lot baru 29156 dan 29157) Mukim Bukit Katil di sini pada 10.30 pagi, 2 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Fauzi Shadollah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu pertuduhan dibacakan dalam bahasa Rohingya oleh jurubahasa mahkamah.

Mohamad Babul dalam rayuannya memohon hukuman diringankan kerana hanya beliau seorang menyara seorang anak, isteri, ibu dan bapanya yang kini berada di Myanmar.

Berita Harian X