Khamis, 8 Oktober 2015 | 3:20pm

Lelaki berpakaian wanita: Mahkamah Persekutuan ketepikan keputusan Mahkamah Rayuan

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan adalah tidak berperlembagaan.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel lima hakim Mahkamah Persekutuan ketika membenarkan bantahan awal kerajaan Negeri Sembilan dan lima yang lain berhubung permohonan semakan kehakiman difailkan tiga mak andam bagi mencabar Enakmen Syariah negeri yang melarang lelaki berpakaian wanita.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan itu diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif dan Hakim Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Zaharah Ibrahim.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati permohonan untuk mencabar kesahihan Seksyen berkenaan tidak sepatutnya dibuat melalui permohonan semakan kehakiman.

Pada 11 Oktober 2012, Mahkamah Tinggi Seremban menolak permohonan semakan kehakiman Muhammad Juzaili Mohamad Khamis, 26, Syukor Jani, 28, dan Wan Fairol Wan Ismail, 30, dan memutuskan hak mereka di bawah Perlembagaan Persekutuan hendaklah diketepikan kerana mereka dilahirkan sebagai lelaki dan beragama Islam.

Ketiga-tiga mereka kemudian memfailkan rayuan dan Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan itu selepas mengisytiharkan ketetapan Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan bahawa lelaki Islam berpakaian seperti wanita adalah perbuatan jenayah, tidak sah.

Berita Harian X