Rabu, 14 Oktober 2015 | 2:06am
KEADAAN Toyota Altis yang dilanggar oleh kereta suspek.
KEADAAN Toyota Altis yang dilanggar oleh kereta suspek.

3 lelaki dipercayai penjenayah berjaya melarikan diri

POLIS menjalankan siasatan di tempat letak kereta Blok E, Flora Damansara, malam tadi.
POLIS menjalankan siasatan di tempat letak kereta Blok E, Flora Damansara, malam tadi.

PETALING JAYA: Polis terpaksa melepaskan empat das tembakan dalam cubaan menahan tiga lelaki dipercayai penjenayah, yang melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta di tempat letak kereta Blok E, Flora Damansara, di sini, malam tadi.

Difahamkan, dalam kejadian pada jam 7 malam itu, sepasukan anggota polis dari cawangan jenayah berat Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya mahu menahan tiga suspek yang menaiki sebuah NISSAN Sentra di aras dua blok berkenaan.

"Ketika anggota polis cuba melakukan serbuan, suspek terus memecut kenderaan dan cuba melanggar anggota polis.

"Keadaan itu memaksa anggota polis melepaskan empat das tembakan ke arah kereta suspek," katanya.

Kata sumber, suspek terus memecut dan melanggar sebuah TOYOTA Altis serta sebuah lagi kereta yang diparkir di situ, seterusnya berjaya meloloskan diri.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din yang dihubungi mengesahkan perkara itu, namun enggan mengulas lanjut.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan dan gerakan memburu ketiga-tiga suspek sedang dilakukan.

Berita Harian X