X
Khamis, 15 Oktober 2015 | 10:02pm

Polis Marin rampas 1,000 kayu balak bernilai RM315,000

PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Lima berjaya merampas sejumlah 1,000 batang kayu balak pelbagai jenis dan saiz bernilai RM315,000 dalam satu serbuan di Sungai Sawa, Pakan dekat Sarikei hari ini. - Foto BERNAMA
PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Lima berjaya merampas sejumlah 1,000 batang kayu balak pelbagai jenis dan saiz bernilai RM315,000 dalam satu serbuan di Sungai Sawa, Pakan dekat Sarikei hari ini. - Foto BERNAMA

KUCHING: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima berjaya merampas sejumlah 1,000 batang kayu balak pelbagai saiz dan jenis bernilai RM315,000 dalam serbuan di Sungai Sawa, Pakan dekat Sarikei, hari ini.

Komander PPM Wilayah Lima, Asisten Komisioner N Kalai Chelvan, berkata rampasan hasil maklumat orang awam itu dilakukan menerusi Ops Bersepadu membabitkan empat anggota PPM Sarikei, dua anggota polis Ibu Pejabat Polis Sarikei dan seorang Pengawas Hutan Kanan Jabatan Perhutanan Sarawak.

"Dalam operasi 10.10 pagi yang diketuai ASP Enturan Lageh itu membuat pemeriksaan di lokasi berkenaan dan menemui beberapa longgokan kayu balak pelbagai saiz dan jenis dengan jumlah keseluruhan 1,000 batang.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati kesemua kayu balak itu tidak mempunyai cop Jabatan Perhutanan Sarawak dan dipercayai diperoleh secara haram," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kalai Chelvan berkata, lokasi berkenaan sebelum ini juga pernah diserbu anggota pasukannya dan percaya kayu balak yang dilonggo,kan itu menunggu masa untuk dipunggah menggunakan lori untuk pasaran tempatan.

"Tiada pekerja atau jentera dijumpai di kawasan pembalakan berkenaan. Laporan polis dibuat dan hasil rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Sarawak Bahagian Sarikei untuk tindakan lanjut," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X