Isnin, 19 Oktober 2015 | 4:56pm

Peniaga makan didenda kerana pecahkan cermin kereta

KUALA LUMPUR: Gara-gara membaling batu sehingga memecahkan cermin kereta seorang ejen hartanah, seorang peniaga kedai makan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Nur Azura Murah menjatuhkan hukuman itu ke atas Chin Mun Seng, 49, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan khianat dengan membaling seketul batu ke arah cermin belakang kereta Perodua Myvi milik Yee Tian Wai, 28, awal bulan lalu.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan parkir tepi Jalan Jelawat, berhadapan Lorong Ikan Emas 2, Batu 3 1/2, Cheras, di sini pada pukul 7 pagi, 5 Oktober lalu

Dia dituduh mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Asisten Superitendan Nom Phot Prackdit manakala tertuduh tidak diwakili peguam. -- BERNAMA.

Berita Harian X