Jumaat, 23 Oktober 2015 | 11:12am

Lagi tuduhan rasuah ke atas bekas pengarah JPS

BEKAS pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Abu Bakar Mohd Yusof, 60, (kanan) dihadapkan di Mahkamah Sesyen semalam atas tuduhan menerima suapan berbentuk penginapan di sebuah resort di Sepang tahun lepas. - Foto BERNAMA
BEKAS pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Abu Bakar Mohd Yusof, 60, (kanan) dihadapkan di Mahkamah Sesyen semalam atas tuduhan menerima suapan berbentuk penginapan di sebuah resort di Sepang tahun lepas. - Foto BERNAMA

SEREMBAN: Bekas pengarah dan pelukis pelan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Wilayah Persekutuan, yang dituduh rasuah di Shah Alam dan Kuala Lumpur, semalam, dituduh lagi di Mahkamah Sesyen, di sini, pagi tadi.

Datuk Abu Bakar Mohd Yusof, 60, yang sudah bersara, dan Moh Nasir Mohd Isa, 44, masing-masing mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibaca oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mereka masing-masing menghadapi satu pertuduhan berasingan dan satu pertuduhan bersama menerima suapan daripada pemilik sebuah syarikat, Mazlan Kamaruddin, sebagai dorongan tidak mengganggu dan mengekalkan kontrak kerja pengeluaran bahan batuan, pasir dan mendapan yang dibuat oleh Syarikat Warna Generasi Sdn Bhd milik Mazlan.

Mereka dituduh menerima suapan berbentuk penginapan di Hotel Thistle, Port Dickson, bernilai RM4,568 dan RM1,422.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 9.43 pagi antara 12 hingga 14 Jun lalu.

Bagi pertuduhan bersama, mereka didakwa menerima suapan dalam bentuk wang tunai sebanyak RM20,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 12 tengah hari di sebelah kolam renang Hotel Thistle, Port Dickson, 14 Jun lalu.

K edua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun Dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya SPRM, Mohd Heikal Ismail, manakala Abu Bakar diwakili oleh Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadar Khan dan Mohd Nasir oleh Yusmadi Yusoff

Hakim membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM16,000 seorang dan menetapkan sebutan semula kes pada 18 November ini.

Berita Harian X