Jumaat, 23 Oktober 2015 | 2:21pm

Polis tumpaskan Geng Syafiq

SEREMBAN: Polis berjaya melumpuhkan Geng Syafiq apabila tujuh anggota sindiket itu yang menjalankan kegiatan curi kereta mewah di beberapa buah negeri, ditahan pada Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Norazman Mohd Yusof, berkata semua suspek, termasuk tiga wanita yang berusia antara 22 tahun dan 36 tahun, ditahan di Kajang, Selangor.

Katanya, polis turut merampas enam kenderaan yang dicuri sindiket terbabit iaitu jenis Volkswagen Polo, Nissan Sylphy, Nissan Teana, BWM E90, BMW X6 dan sebuah Perodua MyVi, bernilai RM800 000.

"Kami juga menemui pelbagai jenis peralatan yang dipercayai digunakan sindiket terbabit untuk menjalankan kegiatan pecah rumah dan curi kenderaan seperti spanar, parang dan tukul besi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini, hari ini.

Norazman berkata, siasatan mendapati semua kereta berkenaan dicuri di negeri ini, Melaka, Johor dan Selangor.

Berita Harian X