Jumaat, 23 Oktober 2015 | 3:56pm

Pelajar UIA didenda kerana berniaga

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA) warga Syria didenda RM1,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan menyalahgunakan pas pelajar dengan berniaga kebab di sebuah restoran.

Majistret Zura Syazween Hamizan menjatuhkan hukuman ke atas Mohammad Alhalki, 30, selepas tertuduh mengaku bersalah melanggar syarat pas dengan bekerja sebagai peniaga di sebuah restoran di Bukit Bintang, di sini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di perkarangan Kondominium Casa Mutiara, Jalan Hang Isap, Bukit Bintang, di sini pada jam 6.35 petang, pada 24 September lalu.

Dia didakwa mengikut peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superitendan Nom Phot Prackdit. -- BERNAMA

Berita Harian X