Jumaat, 30 Oktober 2015 | 9:53pm

RM80,000 lesap perompak samun premis pengurup wang

LOKASI kejadian samun premis pengurup wang di Jalan Kolam Ayer berhampiran pusat beli-belah Ampang Point, pagi tadi. - Foto NSTP
LOKASI kejadian samun premis pengurup wang di Jalan Kolam Ayer berhampiran pusat beli-belah Ampang Point, pagi tadi. - Foto NSTP

[email protected]

AMPANG JAYA: Sebuah premis pengurup wang di Jalan Kolam Ayer berhampiran sebuah stesen minyak di sini disamun lelaki bersenjatakan parang mengakibatkan pemiliknya kerugian RM80,000, pagi tadi.

 

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, terdapat dua pekerja masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita berusia 25 tahun dalam premis sebelum didatangi dua motosikal dinaiki empat lelaki.

 

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Md Nazri Zawawi, berkata dua daripadanya dengan salah seorang bersenjatakan parang mengumpil pintu belakang dan masuk ke dalam memaksa mangsa membuka pintu hadapan.

 

"Dua lagi suspek menunggu di luar dan dalam tempoh tidak sampai tujuh minit, suspek berjaya melarikan pelbagai mata wang berjumlah RM80,000.

 

"Dua pekerja terbabit tidak dicederakan dan keempat-empat suspek melarikan diri sebelum mangsa menghubungi polis," katanya ketika dihubungi BH, malam tadi.

 

Katanya, pemeriksaan mendapati kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan tidak berfungsi namun polis kini sedang meneliti rakaman sebuah CCTV di stesen minyak berhampiran.

 

"Gerakan memburu kesemua suspek sedang dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 kanun sama kerana melakukan rompakan," kata Md Nazri lagi.

 

Berita Harian X