Sabtu, 31 Oktober 2015 | 3:56pm

Polis Sabah tahan 2 lelaki, rampas pistol, peluru

TAWAU: Polis merampas sepucuk pistol jenis revolver .38 Smith&Wesson dan beberapa butir peluru selepas menahan dua lelaki di sebuah rumah di Felda Umas, Tawau, pada Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Senior Asisten Komisioner Datuk Salehhudin Abd Rahman, berkata dua suspek berusia 27 dan 29 tahun ditahan selepas dipercayai bertindak mengacukan objek menyerupai sepucuk pistol ke arah muka seorang lelaki yang juga pengadu.

Katanya, suspek dipercayai tidak puas hati terhadap pengadu kerana pernah memarahi adiknya yang juga salah seorang suspek yang ditahan.

"Bertindak atas maklumat sepasukan polis kemudian menahan dua lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian itu di sebuah rumah di Felda Umas, pada hari yang sama.

"Hasil soal siasat, polis kemudian menjalankan pemeriksaan di sebuah premis di Felda Umas dan menemui senjata api jenis revolver .38 Smith&Wesson, empat butir peluru .38, satu kotak berisi 48 butir peluru 9mm 8-01 SME dan 19 kotak mengandungi anak peluru senapang angin," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, sebentar tadi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Berita Harian X