Selasa, 17 November 2015 | 5:45pm

Penyelia didakwa terbabit pengubahan wang haram

RAMDAN Wahab mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM89,000 ketika perbicaraan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini. - Foto Aizuddin Saad
RAMDAN Wahab mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM89,000 ketika perbicaraan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini. - Foto Aizuddin Saad

PETALING JAYA: Seorang penyelia makanan di sebuah hotel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM89,000 tahun lalu.

Ramdan Wahab, 34, didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang RM89,000 daripada akaun CIMB Bank Berhad milik Kascolite Trading ke akaun Hong Leong Bank Berhad milik syarikatnya, Ombak Meridien Enterprise yang juga hasil aktiviti haram.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Hong Leong Bank Berhad, Cawangan PJ New Town, No 9 & 11, Jalan 52/2, Petaling Jaya, di sini pada 1.49 tengah hari, 27 Ogos 2014.

Tertuduh didakwa mengikut subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hasim menawarkan wang jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin, bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan jumlah itu atas alasan dia perlu menanggung isteri dan keluarga yang berada di kampung.

Hakim Manira Mohd Nor membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Dis untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

Berita Harian X