Rabu, 18 November 2015 | 4:08pm
PELBAGAI jenis dadah seberat 1.151 kilogram yang dirampas pihak polis Kerian. - Foto Saiful Shahrin Ahmad Pauzi
PELBAGAI jenis dadah seberat 1.151 kilogram yang dirampas pihak polis Kerian. - Foto Saiful Shahrin Ahmad Pauzi

8 ditahan, 1.15kg dadah dirampas di Kuala Kurau

OMAR Bakhtiar (dua dari kiri) bersama anggota menunjukkan dadah yang dirampas. - Foto Saiful Shahrin Ahmad Pauzi
OMAR Bakhtiar (dua dari kiri) bersama anggota menunjukkan dadah yang dirampas. - Foto Saiful Shahrin Ahmad Pauzi

BAGAN SERAI: Polis menahan lapan lelaki dan merampas 1.15 kilogram pelbagai jenis dadah dalam Ops Sarang di kawasan belukar di Kampung Raja Bashah, Kuala Kurau, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaakob, berkata lapan lelaki yang ditahan dalam operasi pada Khamis lalu termasuk dua pengedar utama yang dipercayai bergerak aktif melakukan kegiatan menjual dadah sejak dua bulan lalu.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan dadah dirampas daripada dua 'tokan' berusia 28 dan 38 tahun itu adalah 871.9 gram ganja, 261.7 gram heroin dan 17.36 gram syabu.

Katanya, enam lagi yang juga dipercayai pengedar kecil-kecilan dan penagih turut ditangkap kerana memiliki tujuh paket plastik lut sinar dan satu tiub straw berisi dadah heroin seberat 9.97 gram dan sepaket plastik dan tiga tiub straw berisi syabu seberat 0.97 gram.

"Dua tokan dadah utama itu bertindak mendirikan sebuah pondok kanvas sebagai tempat tinggal dalam hutan belukar dan mereka ditangkap ketika asyik membungkus dadah.

"Siasatan lanjut turut mengenal pasti kedua-dua tokan utama mempunyai 11 rekod jenayah lampau," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, kesemua pengedar berusia lingkungan 26 tahun hingga 41 tahun adalah orang tempatan dan dadah dirampas keseluruhan bernilai melebihi RM20,000 dipercayai untuk dipasarkan di sekitar kawasan Kuala Kurau, Tanjung Piandang dan Gunung Semanggol.

Beliau berkata, dua pengedar utama berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala enam suspek lain mengikut Seksyen 39A (1) dan Seksyen 39A (2) akta sama.

Katanya, tangkapan itu berjaya melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah terbesar di daerah Kerian tahun ini.

Berita Harian X