Khamis, 3 Disember 2015 | 4:25pm

2 lelaki dituduh ubah wang haram RM746,400

A Sosy S Robert dan N Narendran didakwa di dua Mahkamah Sesyen, di Ipoh, hari ini. - Foto BERNAMA
A Sosy S Robert dan N Narendran didakwa di dua Mahkamah Sesyen, di Ipoh, hari ini. - Foto BERNAMA

IPOH: Dua lelaki berusia 35 dan 48 tahun didakwa dengan 10 pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001 di dua Mahkamah Sesyen, di sini hari ini membabitkan wang berjumlah RM746,400.

A Sosy S Robert, 48, dan N Narendran, 35, mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan berkenaan yang membabitkan urusan pembelian ubat-ubatan dan peralatan perubatan pada Jun hingga Julai 2014.

Tertuduh pertama S Robert didakwa dengan enam pertuduhan mengikut Subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001 membabitkan wang berjumlah RM746,400 melalui mesin ATM dan cek daripada akaun milik Mesna Medical Supplies di CIMB Bank Bhd, di Puchong, Selangor pada 25 Jun hingga 4 Julai 2014.

Pertuduhan di Mahkamah Sesyen itu dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farez Rahman, di hadapan Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin, manakala tertuduh diwakili peguam B Sivaruben.

Ikmal Hishan membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh kedua Narendran juga didakwa di Mahkamah Sesyen dengan empat pertuduhan membabitkan anggaran jumlah wang hampir sama dengan tertuduh pertama pada 25 Jun hingga 3 Julai 2014 di CIMB Bank Bhd, di Puchong.

Pendakwaan dilakukan Mohd Farez di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed, manakala Sivaruben turut mewakili tertuduh.

Rushan Lutfi kemudian menetapkan RM160,000 wang jaminan bagi keempat-empat pertuduhan terhadap Narendran serta 7 Januari depan sebagai sebutan semula kes bagi kedua-dua tertuduh.

Jika sabit kesalahan kedua-dua tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

Berita Harian X