Ahad, 13 Disember 2015 | 6:20pm

Banjir kilat landa dua kawasan dekat Port Dickson

JALAN Seremban-Port Dickson dekat Bandar Springhill, Port Dickson, dilanda banjir kilat petang tadi.
JALAN Seremban-Port Dickson dekat Bandar Springhill, Port Dickson, dilanda banjir kilat petang tadi.

PORT DICKSON: Hujan lebat hampir tiga jam menyebabkan kawasan jalan raya dekat Bandar Springhill dan Kampung Sendayan di sini, dilanda banjir kilat, petang tadi.

Banjir kilat kira-kira jam 4 petang itu menyebabkan Jalan Seremban-Port Dickson dekat Bandar Springhill, mengalami kesesakan lalu lintas teruk sepanjang tiga kilometer.

Ini berikutan air setinggi satu meter menyebabkan hanya kenderaan besar boleh melalui jalan itu.

Seorang pemandu kereta, S Gunasegaran, 52, berkata banyak kenderaan terperangkap di situ kerana pemandu kereta dan motosikal tidak berani melalui laluan yang dilanda banjir dan tidak boleh berpatah balik kerana banyak kenderaan lain di belakang.

Sementara itu Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Izam Malek, dari Balai Bomba Port Dickson, berkata sebuah jentera bersama tujuh anggota dikejarkan ke Kampung Sendayan berikutan ada laporan bahawa ada penduduk terperangkap.

Bagaimanapun, katanya setiba di situ pada jam 5.02 petang, dua penghuni rumah yang dilanda banjir kilat enggan berpindah dengan alasan air semakin surut.

Berita Harian X