Selasa, 15 Disember 2015 | 5:57pm

6 lagi ditahan kes senjata api buatan sendiri

ALOR SETAR: Polis menahan enam lagi individu berhubung kes pembuatan dan penjualan senjata api didalangi seorang warga tua yang sudah ditangkap di Yan minggu lalu.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Zakaria Yusof, berkata penahanan itu menjadikan jumlah yang ditahan hingga kini seramai sembilan orang, dengan keseluruhan 10 senjata api dirampas.

"Enam lelaki berusia antara 40 dan 67 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar negeri susulan penahanan tiga lelaki termasuk suspek utama sebelum ini.

"Semua enam yang ditahan itu disahkan membeli senjata api daripada suspek dan masing-masing ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 7 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971," katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, tiga ditahan termasuk seorang lelaki warga emas berusia 67 tahun yang terbabit membuat dan menjual senjata api buatan sendiri di Yan, dengan enam laras senjata api dirampas.

Berita Harian X