X
Khamis, 17 Disember 2015 | 9:32pm

Pekerja hotel maut motosikal terbabas

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja hotel maut apabila motosikal ditunggangnya terbabas dan merempuh belakang sebuah lori di Lebuhraya BESRAYA berhampiran Sungai Besi di sini, petang tadi.

Dalam kejadian itu kira-kira jam 2 petang, Redzizal Abdul Hassan, 25, yang bekerja di sebuah hotel di Bukit Bintang, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan S Markandan, berkata mangsa yang dalam perjalanan ke bandar raya ini, dipercayai terbabas lalu merempuh tayar belakang lori dipandu Rosalan Paidin, 46.

"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat, manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi, malam ini.

Markandan berkata, saksi kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X