X
Rabu, 23 Disember 2015 | 4:04pm

Pegawai polis dipenjara 100 tahun

MAHKAMAH Sesyen Kota Kinabalu menjatuhkan hukuman penjara 100 tahun dan 15 sebatan terhadap seorang pegawai polis selepas didapati bersalah dalam empat kes rogol dan satu kes liwat membabitkan seorang remaja berusia 13 tahun, pada tahun 2012. - Foto NSTP
MAHKAMAH Sesyen Kota Kinabalu menjatuhkan hukuman penjara 100 tahun dan 15 sebatan terhadap seorang pegawai polis selepas didapati bersalah dalam empat kes rogol dan satu kes liwat membabitkan seorang remaja berusia 13 tahun, pada tahun 2012. - Foto NSTP

KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 100 tahun dan 15 sebatan terhadap seorang pegawai polis selepas didapati bersalah dalam empat kes rogol dan satu kes liwat membabitkan seorang remaja berusia 13 tahun, pada tahun 2012.

Bagaimanapun, Deputi Superintendan Rohaizat Abdul Ani, 56, cuma perlu menjalani hukuman penjara 80 tahun selepas Hakim Ainul Shahrin Mohamad memerintahkan hukuman bagi dua pertuduhan atas kesalahan merogol berjalan serentak.

Sebelum itu, Ainul Shahrin menjatuhkan hukuman maksimum 20 tahun penjara dan tiga sebatan atas empat pertuduhan merogol dan satu pertuduhan meliwat gadis sama yang didakwa dilakukan tertuduh di sebuah hotel, di sini, pada Februari dan Mei 2012.

Mahkamah menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap tertuduh, manakala Rohaizat yang diwakili peguam Zahari Shah gagal menimbulkan keraguan terhadap hujah pihak pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Ainul Shahrin berkata, mahkamah turut mengambil kira kedudukan Rohaizat sebagai pegawai kanan polis ketika kesalahan itu dilakukan, sebagai individu yang sepatutnya melindungi masyarakat dan bukan terbabit dalam perbuatan jenayah.

Rohaizat diperintah menjalani hukuman itu bermula hari ini, namun dia mendapatkan penangguhan dengan jaminan RM100,000 bersama seorang penjamin tempatan sehingga rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi selesai.

Dalam tempoh itu, tertuduh yang kini menetap di Kuala Lumpur, turut diminta melapor diri di balai polis terdekat iaitu di Bukit Aman pada 1 dan 15 haribulan setiap bulan, manakala pasportnya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes rayuan selesai.

Bagi dua pertuduhan pertama, Rohaizat didakwa merogol dan meliwat mangsa di sebuah bilik di Hotel Tang Dynasty di sini, antara jam 4.30 petang hingga 5.30 petang pada 1 Februari 2012.

Dalam pertuduhan ketiga, dia dituduh merogol mangsa di bilik lain di hotel sama antara jam 12.30 tengah hari dan 1.30 tengah hari pada 2 Februari 2012.

Bagi pertuduhan keempat dan kelima, tertuduh didakwa merogol gadis sama dalam sebuah bilik di hotel itu antara jam 8 malam hingga 3 pagi, pada 1 Mei hingga 6 Mei 2012.

Bagi kesalahan merogol, Rohaizat berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan, manakala bagi tuduhan meliwat, dia berdepan penjara sehingga 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 377B, Kanun Keseksaan.

Pihak pendakwaan memanggil 19 saksi manakala pihak pembelaan mengemukakan lima saksi sepanjang perbicaraan kes itu.

Rohaizat pernah bertugas sebagai Ketua Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap atau D7 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dari tahun 2006 hingga 2010.

Berita Harian X