Rabu, 30 Disember 2015 | 9:51pm

Polis tumpaskan geng samun 'Naim Wira'

 

AMPANG JAYA: Polis menahan tiga lelaki dipercayai anggota kumpulan 'Geng Naim Wira' yang aktif menjalankan kegiatan samun bersenjata di sekitar Ampang sejak tiga bulan lalu.

 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias, berkata suspek berusia antara 27 hingga 34 tahun itu ditahan sejurus menyamun seorang pekerja hotel berusia 22 tahun di Pandan Indah di sini.

 

"Dalam kejadian pada jam 1.50 pagi, suspek bersenjatakan pisau pemotong daging menyerbu masuk sebuah hotel di Pandan Indah dan menyamun seorang wanita yang juga pekerja di situ sebelum melarikan diri menaiki sebuah kereta.

 

"Suspek melarikan wang tunai RM400 dari meja kaunter hotel, RM120 milik mangsa, telefon bimbit jenis Lenovo dan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

 

Bagaimanapun, katanya, ketiga-tiga suspek ditahan di sekitar Ampang pada jam 3 pagi selepas unit peronda yang melakukan rondaan berhasil mengesan kereta dinaiki mereka.

 

Katanya, hasil pemeriksaan di dalam kenderaan suspek, polis menemui pisau pemotong daging yang digunakan untuk menyamun mangsa, tiga telefon bimbit dan wang tunai hasil samun.

"Ketiga-tiga suspek juga positif dadah hasil ujian saringan air kencing. Mereka direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

"Dengan penahanan ini, polis percaya dapat menyelesaikan lima kes samun bersenjata di daerah ini dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kumpulan ini boleh melaporkannya di mana-mana balai polis berhampiran, " katanya.

Berita Harian X