Khamis, 31 Disember 2015 | 11:10am

Nahas Jeli: Pemandu bas didakwa cuai

SEORANG pemandu bas ekspres, Muhammad Hazim Hakimi Ahmad Zaki, dihadapkan ke mahkamah terhadap tuduhan memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian empat penumpangnya di Jalan Timur-Barat Jeli, pada 25 Disember lalu di Mahkamah Majistret Machang pagi ini. - Foto Syamsi Suhaimi
SEORANG pemandu bas ekspres, Muhammad Hazim Hakimi Ahmad Zaki, dihadapkan ke mahkamah terhadap tuduhan memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian empat penumpangnya di Jalan Timur-Barat Jeli, pada 25 Disember lalu di Mahkamah Majistret Machang pagi ini. - Foto Syamsi Suhaimi

MACHANG: Seorang pemandu bas yang terbabit dalam nahas di Jeli mengakibatkan empat maut pada Jumaat lalu, didakwa di Mahkamah Majistret, di sini kerana memandu dengan cuai.

Tertuduh, Mohd Hazim Hakimi Ahmad Zaki, 26, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik kertas pertuduhan dibacakan.

Majistret Amal Razim Alias membenarkan tertuduh diikat jamin RM8, 000 dengan seorang penjamin dan lesen memandu digantung sehingga kes selesai. Mahkamah turut menetapkan 6 Mac bagi sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ainul Wardah Shahidan, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Nizam Mohamed dan Alias Ibrahim.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memandu bas ekspres di Kilometer 124 Lebuhraya Jeli-Grik secara cuai hingga mengakibatkan kematian empat penumpangnya, kira-kira jam 1.30 pagi pada 25 Disember lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM20,000.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi Jumaat lalu, bas dari Taiping, Perak, yang dipandu lelaki berusia 26 tahun dikatakan hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bergesel sebuah lori muatan papan.

Akibat pergeseran itu, empat penumpang maut, terdiri daripada Hasiah Osman, 57 dan anaknya, Mohamad Amir Abdul Rahim, 16; Nur Afiqah Alimi Mohd Ali, 19 dan Mohd Syafiq Azrol Azni, 25.

Berita Harian X