Ahad, 17 Januari 2016 | 11:12am

Penganggur didakwa dera anak teman wanita hingga mati

KOTA TINGGI: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini atas tuduhan mencederakan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang juga anak teman wanitanya sehingga mati pada 3 September lalu.

Mohd Hazwan Karim, 24, dihadapkan di hadapan Majistret Mazana Sinin, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Tertuduh yang berpakaian baju lokap tidak diwakili peguam, manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Suhaila Shafi'uddin.

Dia didakwa melakukan jenayah berkenaan di sebuah bilik tidur di pusat perkhidmatan memandu di sebuah rumah di Jalan Mangga 2, Taman Kota Jaya, di sini, antara jam 2 hingga 2.30 pagi pada 3 September lalu.

Mengikut fakta kes, tertuduh menampar kanak-kanak itu beberapa kali di muka sehingga kepala kanak-kanak itu terhantuk di lantai dan mendatangkan kecederaan, seterusnya kematian.

Mohd Hazwan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Suhaila memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan kes kerana pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat, laporan DNA dan laporan kesihatan mangsa.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Februari ini untuk sebutan.

Berita Harian X