Selasa, 19 Januari 2016 | 3:27pm

Bekas polis dipenjara, denda RM20,000 akibat rasuah

MOHD Kamarul Ikhsan Kamaruzaman, dijatuhi hukuman penjara dua hari dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas dua pertuduhan iaitu meminta suapan bernilai RM1,500 dan menerima suapan RM1,000. - Foto Syahirah Abdullah
MOHD Kamarul Ikhsan Kamaruzaman, dijatuhi hukuman penjara dua hari dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas dua pertuduhan iaitu meminta suapan bernilai RM1,500 dan menerima suapan RM1,000. - Foto Syahirah Abdullah

KUALA TERENGGANU: Seorang bekas polis dihukum penjara dua hari dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas dia mengaku bersalah atas dua tuduhan rasuah.

Mohd Kamarul Ikhsan Kamaruzaman, 28, mengaku meminta dan menerima suapan dalam kejadian di Marang pada tahun 2014.

Tertuduh yang didakwa di hadapan Hakim Asmadi Hussin, mengaku secara rasuah meminta suapan RM1,500 melalui khidmat pesanan ringkas kepada seorang wanita sebagai dorongan untuk membuang kes dan menarik balik laporan polis terhadap anak wanita berkenaan.

Dia melakukan kesalahan itu ketika berpangkat konstabel pada kira-kira jam 5 petang pada 8 Januari 2014 di No 65, Taman Haji Ismail, Bukit Guntong, Binjai Rendah, Marang.

Tertuduh turut mengaku menerima suapan wang tunai RM1,000 daripada wanita sama sebagai dorongan untuk membuang kes dan menarik balik laporan polis yang dibuat terhadap anak wanita terbabit, kira-kira jam 7.25 malam di alamat sama pada 9 Januari 2014.

Mohd Kamarul Ikhsan didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Bagi setiap pertuduhan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 atau dua bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Farah Yasmin Salleh, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X