Rabu, 20 Januari 2016 | 9:23am

Mangsa tikam sempat lari 30 meter minta bantuan

KETUA Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa. - Foto Sharul Hafiz Zam
KETUA Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa. - Foto Sharul Hafiz Zam

SUNGAI PETANI: Seorang remaja lelaki yang ditikam di dada oleh seorang lelaki, sempat berlari kira-kira 30 meter untuk mendapat bantuan sebelum rebah dan tidak sedarkan diri di Bandar Puteri Jaya di sini, malam tadi.

Kejadian pada jam 9 malam itu ketika mangsa, 16, berjalan sendirian di kawasan lot kedai, sebelum dihalang empat lelaki yang menaiki dua motosikal.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa, berkata sebaik menahan mangsa, seorang daripada suspek terus menikam dada mangsa dengan senjata tajam sebelum melarikan diri.

"Mangsa yang parah akibat ditikam sempat berlari sejauh lebih 30 meter ke hadapan sebuah pasar mini untuk meminta tolong, namun rebah dan terus tidak sedarkan diri.

"Mangsa yang ditemui orang awam terus dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), namun disahkan mati sebaik tiba di hospital," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Berita Harian X