X
Khamis, 28 Januari 2016 | 1:53pm

Khalid, Ismail Sabri pohon batal saman Nurul Izzah

NURUL Izzah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Yazit Razali
NURUL Izzah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memohon untuk membatalkan saman fitnah dikemukakan terhadap mereka oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Saman itu berhubung dakwaan Nurul Izzah bahawa Khalid dan Ismail Sabri mengeluarkan kenyataan fitnah menuduhnya sebagai penderhaka berdasarkan sekeping gambar memaparkan beliau (Nurul Izzah) bersama Jacel Kiram iaitu anak Jamalul Kiram III, yang mengetuai pencerobohan di Lahad Datu, Sabah pada tahun 2013.

Perkara itu diberitahu peguam Latheefa Koya mewakili Nurul Izzah ketika ditemui selepas prosiding pengurusan kes saman itu dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nor Bee Ariffin.

Latheefa berkata, kedua-dua defendan memfailkan permohonan itu semalam.

Beliau berkata, pada masa sama, pihaknya akan mengemukakan bantahan berhubung kedua-dua defendan, yang diwakili Pejabat Peguam Negara sedangkan anak guamnya memfailkan saman berkenaan dengan menamakan defendan atas kapasiti peribadi mereka.

Katanya, kedua-dua defendan tidak sepatutnya diwakili Pejabat Peguam Negara.

Dalam kes saman itu, Khalid dan Ismail Sabri diwakili Peguam Persekutuan Shaiful Nizam Shahrin.

Melalui writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan pada 26 November tahun lalu, Nurul Izzah berkata, Khalid dan Ismail Sabri masing-masing mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan di Bera, Pahang pada 22 November tahun lalu.

Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, kenyataan itu membawa maksud antaranya beliau seorang penderhaka dan dalang di sebalik serangan serta pencerobohan berkenaan.

Berita Harian X