Rabu, 3 Februari 2016 | 11:48pm

STAGG serbu 8 premis judi, tahan 39 individu

KUALA LUMPUR: Seramai 39 individu, termasuk 25 pemain ditahan dalam serbuan serentak ke atas lapan premis judi dalam talian yang beroperasi di sekitar daerah Klang Selatan, lewat petang tadi.

Serbuan sebelum jam 7 malam oleh Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman itu turut merampas 166 unit komputer, lapan kalkulator, lima alat kawalan jauh, dokumen, peralatan internet serta wang tunai RM2,088.

Hasil pemeriksaan di satu premis turut menemui sebilah pedang disimpan di kaunter dipercayai milik pemilik premis.

Ketua Penolong Pengarah STAGG, Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata hasil siasatan mendapati premis judi itu menjalankan operasi secara sembunyi hanya untuk pelanggan tetap.

"Premis juga dikawal Kamera Litar Tertutup (CCTV) bagi tujuan mengenal pasti pemain. Sebaik dikenal pasti, mereka perlu menekan loceng sebelum dibenarkan masuk ke dalam premis.

"Hasil serbuan kali ini berjaya menahan seramai 39 individu membabitkan 14 penjaga premis dan 25 pemain termasuk warga asing. Daripada jumlah itu, 16 daripada adalah wanita," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. Manakala, tangkapan warga asing turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 55(B) Akta Imigresen 1959/1963.

Berita Harian X