Rabu, 17 Februari 2016 | 9:42am

Penjenayah serang polis dengan kapak, cedera ditembak

LORI dan kapak digunakan oleh anggota sindiket curi kenderaan ketika menyerang pegawai polis di Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu awal pagi tadi.
LORI dan kapak digunakan oleh anggota sindiket curi kenderaan ketika menyerang pegawai polis di Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu awal pagi tadi.

BINTULU: Seorang lelaki disyaki ahli sindiket curi kenderaan cedera di kaki kirinya selepas ditembak kerana menyerang pegawai polis yang menahannya, awal pagi tadi.

Dalam kejadian itu jam 3.20 pagi, pegawai polis terbabit turut cedera di lengan kirinya ketika bergelut dengan penjenayah terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Dev Kumar, berkata ketika kejadian, seramai lima anggota polis yang diketuai Inspektor Nixon Malang sedang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan tapak pembinaan di Samalaju.

Beliau berkata, menyedari kehadiran polis, tiga lelaki yang sedang mencuri sebuah lori dari tapak pembinaan itu melarikan diri, namun berjaya dipintas polis di Kilometer 45 Jalan Bintulu-Miri.

Katanya, ketiga-tiga suspek kemudiannya meninggalkan lori itu di tepi jalan sebelum mereka melarikan diri ke dalam semak.

"Nixon berjaya menahan seorang daripada suspek, namun lelaki itu melibas kapak ke arahnya, menyebabkan beliau cedera di lengan kiri.

"Apabila suspek semakin agresif, pegawai polis itu terpaksa melepaskan satu das tembakan untuk mempertahankan diri," katanya.

Suspek berusia 33 tahun dari Niah, Miri yang cedera di kaki kiri akibat tembakan itu dikenal pasti seorang daripada ahli sindiket yang terbabit dalam beberapa kes mencuri lori dan kenderaan pacuan empat roda di Bintulu.

"Suspek kini menerima rawatan di Hospital Bintulu dan penangkapannya itu dijangka dapat menumpaskan sindiket mencuri kenderaan yang aktif di Bintulu," katanya.

Berita Harian X