Sabtu, 27 Februari 2016 | 2:25pm

Maut bergaduh dengan jiran kerana baja pokok betik

BATU GAJAH: Seorang buruh binaan mati dipercayai akibat kecederaan dalaman selepas bergaduh dengan jirannya di hadapan rumah mereka di Taman Teja, Tanjung Tualang di sini, malam tadi.

Lelaki berusia 43 tahun itu ditemui dalam keadaan terlentang di atas jalan selepas mereka bergaduh kira-kira jam 8 malam dan pemeriksaan mendapati dia sudah meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Nasri Omar, berkata berikutan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berusia 50 tahun di kawasan berhampiran bagi membantu siasatan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.

Nasri berkata, siasatan awal mendapati suspek marah kepada mangsa kerana menanam betik di bahagian belakang dan menggunakan baja najis ternakan hingga menyebabkan persekitaran berbau busuk.

Katanya, kemuncak pergaduhan ialah sekitar jam 11 pagi semalam apabila suspek memotong pokok betik berkenaan.

"Pergaduhan berlaku lagi sekitar jam 8 malam tadi dan mangsa dipercayai terjatuh di atas jalan bertar sebelum meninggal dunia. Tiada senjata digunakan dalam pergaduhan itu," katanya.

Berita Harian X