Ahad, 28 Februari 2016 | 12:05am

Penduduk bantu sindiket hantar balak haram

PENOLONG Pengarah (Operasi dan Penguatkuasaan Hutan), Mohd Shafie Mahmud (kiri) bersama anggota PGA membuka kanvas yang menutup kayu balak, yang berjaya disita di Kampung Rasau Kerteh. - Foto Aswadi Alias
PENOLONG Pengarah (Operasi dan Penguatkuasaan Hutan), Mohd Shafie Mahmud (kiri) bersama anggota PGA membuka kanvas yang menutup kayu balak, yang berjaya disita di Kampung Rasau Kerteh. - Foto Aswadi Alias

DUNGUN: Pembalak haram di Hutan Simpan Rasau, FELDA Kertih 5, di sini, dipercayai menggunakan khidmat penduduk kampung berhampiran sebagai 'kurier' bagi menghantar balak yang ditebang secara haram ke kilang.

Taktik itu terbongkar apabila seorang penduduk di FELDA terbabit berusia 55 tahun ditahan dalam Ops Balak Haram, yang dilancarkan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu dengan bantuan Pasukan Gerakan Am (PGA) Gong Badak, Kuala Terengganu, awal pagi semalam.

Turut menyertai operasi itu adalah sekumpulan pakar pengendali dron dari syarikat Feisty Unmanned Solutions Sdn Bhd, yang membantu mengenal pasti lokasi pembalakan haram, selain membuat pemetaan terperinci keluasan kawasan diteroka.

Dalam operasi bermula jam 4 petang Khamis hingga 1 tengah hari semalam, pihak berkuasa turut merampas sebuah lori balak dengan muatan berisi kayu jenis nyatoh dan meranti bernilai lebih RM50,000.

Pengarah Jabatan Perhutanan Terengganu, Datuk Azmi Nordin, berkata ketika serbuan dilakukan di lokasi pembalakan itu, pihaknya mendapat maklumat mengenai kedudukan lori terbabit yang diletakkan di bahu jalan di kawasan FELDA berkenaan.

Katanya, pemeriksaan terhadap lori tiga tan itu mendapati ia membawa muatan kayu balak bernilai tinggi yang sudah dipotong pendek bagi memudahkan ia ditutup menggunakan kanvas.

"Ketika pemeriksaan, pemandu lori tiada di situ, namun setengah jam kemudian seorang lelaki muncul kononnya untuk menghalau lembu yang berkeliaran di kawasan terbabit.

"Apabila disoal siasat oleh anggota PGA, lelaki itu mengaku kenderaan berkenaan adalah kepunyaannya. Dia kemudian ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun untuk siasatan lanjut," katanya kepada BH, hari ini.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh Jabatan Perhutanan, lanun rimba itu menggunakan khidmat penduduk FELDA itu sebagai penghantar balak haram yang dicuri dari hutan berkenaan.

Selain itu, sindiket berkenaan turut disyaki menggunakan khidmat penduduk kawasan berkenaan sebagai tonto untuk mengawasi pergerakan pihak berkuasa.

BH yang turut menyertai operasi itu mendapati, lanun rimba terbabit menggunakan kawasan FELDA Kertih 5 sebagai pintu masuk untuk ke tapak pembalakan haram.

Pasukan yang menyertai operasi itu menggunakan tiga pacuan empat roda dan dua
motosikal jenis scrambler gagal menemui laluan berkenaan sehingga sesat lebih sejam.

Bagaimanapun, Azmi berkata, pihaknya tidak akan mengalah dan akan meneruskan operasi bagi mengenal pasti lokasi sebenar tapak pembalakan haram itu.

"Pasukan pengendali dron menemui tompokan kawasan yang dipercayai tapak pembalakan haram kumpulan itu. Maklumat ini akan digunakan sebagai petunjuk bagi menumpaskan kegiatan haram mereka," katanya.


Berita Harian X