Isnin, 29 Februari 2016 | 3:21pm

Warga Filipina kena 6 bulan, denda RM10,000 cuba rasuah

AYER KEROH: Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 kepada wanita warga Filipina selepas tertuduh mengaku bersalah memberi suapan kepada pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), pada 6 November lalu.

Tertuduh yang dikenali sebagai Rosnah, 43, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Amran Jantan.

Berdasarkan pertuduhan, Rosnah didapati cuba melakukan rasuah dengan memberi suapan wang tunai RM100, cincin dan anting-anting emas kepada Mohd Hanif Md Saleh, sebagai dorongan untuk tidak menahan kad pengenalan berkualiti tinggi (KPT Bunga Raya) yang didapati milik orang lain atas penama Rosnah Kundangit.

Kesalahan itu dilakukan pada jam 10.30 pagi, di Bilik Siasatan, JPN Negeri Melaka, 6 November tahun lalu.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Amran kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan dari tarikh ditangkap pada 20 November 2015 dan denda RM10,000, selain tambahan enam bulan penjara jika tertuduh gagal membayar denda.

Berita Harian X