X
Selasa, 1 March 2016 | 9:10am

Dapur rumah terbakar, remaja perempuan melecur

ALOR SETAR: Seorang remaja perempuan melecur hampir 30 peratus dalam kebakaran sebuah rumah di Lorong Seri, dekat Jalan Langgar, di sini, awal pagi ini.

Nur Fatihah Sabri, 18, melecur di muka dan beberapa anggota badan dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.02 pagi sebelum 26 anggota dengan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Serta dan Jalan Raja digerakkan ke lokasi.

Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dan lori tangki air turut dihantar bagi membantu.

"Sebaik tiba, api kelihatan marak di bahagian dapur sebuah rumah dan kerja memadam kebakaran segera dilakukan sebelum api berjaya dikawal jam 4.16 pagi.

"Seorang mangsa cedera akibat melecur dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut," katanya.

Berita Harian X