Jumaat, 4 March 2016 | 5:08pm
MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid meneliti dokumen berkaitan isu kaca dalam bihun yang menyebabkan keracunan pada murid sekolah Tamil selepas mesyuarat di Kementeriannya di Putrajaya, Rabu lalu. - Foto BERNAMA
MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid meneliti dokumen berkaitan isu kaca dalam bihun yang menyebabkan keracunan pada murid sekolah Tamil selepas mesyuarat di Kementeriannya di Putrajaya, Rabu lalu. - Foto BERNAMA

Murid termakan mi berisi kaca dibenar keluar hospital

PETALING JAYA: Seorang daripada tujuh murid yang dilapor termakan mi mengandungi serpihan kaca, dibenarkan keluar dari Hospital Sungai Buloh hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan, berkata dua mangsa lagi akan dibenar pulang esok manakala empat lagi dirawat sebagai pesakit luar pada hari kejadian Jumaat minggu lalu.

"Bagaimanapun, seorang daripada empat murid itu dimasukkan semula ke hospital semalam, kerana mengadu sakit perut.

"Kementerian masih menunggu laporan penuh Jabatan Pendidikan Selangor berhubung kejadian ini," katanya kepada pemberita selepas Karnival Hala Tuju Peluang Pendidikan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2015 di sini, hari ini.

Beliau mengulas kes murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Nigel Gardner, Hulu Selangor yang termakan sarapan dipercayai mengandungi serpihan kaca pada Jumaat lalu.

Kamalanathan berkata, kecuaian operator kantin sekolah itu wajar menjadi pengajaran dan garis panduan kepada semua penyedia makanan supaya lebih berhati-hati.

Berita Harian X