Jumaat, 11 March 2016 | 8:30am
TIMBALAN Ketua Polis Kedah, Datuk Abd Jalil Hassan (dua dari kanan) bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, SAC Mohd Nashir Ya (kiri) menunjukkan senjata serta barang yang ditemui di sebuah kereta dinaiki seorang lelaki yang ditembak mati di Taman Rakyat, Mergong. - Foto Amran Hamid

Polis tembak mati penjenayah, jumpa pistol dan bom tangan

ANGGOTA Polis Unit Forensik melakukan pemeriksaan di tempat kejadian seorang lelaki yang ditembak mati di Taman Rakyat, Mergong. - Foto Amran Hamid
ANGGOTA Polis Unit Forensik melakukan pemeriksaan di tempat kejadian seorang lelaki yang ditembak mati di Taman Rakyat, Mergong. - Foto Amran Hamid

ALOR SETAR: Seorang lelaki disyaki penjenayah maut selepas berbalas tembakan dengan polis di Taman Rakyat, dekat Mergong di sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.10 pagi itu, polis turut menemui sejumlah dadah jenis syabu selain pil kuda dan Eramin 5, bersama sepucuk pistol dan bom tangan dalam pemilikan suspek.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Abd Jalil Hassan, berkata suspek yang menaiki sebuah kereta terdahulu dikesan mencurigakan di kawasan lampu isyarat berhampiran sebuah bank di Taman Rakyat, di sini.

Katanya, kenderaan itu kemudian dihampiri anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah untuk tujuan pemeriksaan.

"Bagaimanapun, suspek enggan bekerjasama dan memecut kereta ke arah Masjid Taman Rakyat dan dikejar kereta polis.

"Ketika melarikan diri, suspek yang turut melanggar kereta peronda sempat melepaskan tiga das tembakan ke arah polis, memaksa anggota berkenaan melepaskan tembakan balas untuk mempertahankan diri.

"Ia menyebabkan kereta dinaiki suspek terbabas dan merempuh pokok.

"Suspek mati di tempat kejadian dan polis turut menemui pelbagai jenis dadah dalam kereta terbabit, selain sepucuk pistol jenis Smith & Wesson bersama tiga peluru hidup dan sebutir bom tangan yang masih aktif.

"Kita juga menemui tiga kelongsong peluru," katanya.

Katanya, polis sedang mengenal pasti identiti suspek yang disyaki warga tempatan itu kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui.

Abd Jalil berkata, polis masih memeriksa status kenderaan digunakan suspek, selain motif pemilikan senjata api bersama bom tangan terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Berita Harian X