Khamis, 17 March 2016 | 8:22pm

Polis cari waris lelaki maut dilanggar kereta

SHAH ALAM: Polis mencari waris seorang lelaki yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 17.2 Lebuhraya Selat Klang Utara dari Meru menghala ke Shah Alam, pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 8.52 pagi itu, mangsa yang berusia lingkungan 40-an itu maut selepas dilanggar oleh sebuah kereta ketika cuba melintas di lebuh raya berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Nor Omar Sappi, berkata berdasarkan maklumat yang diterima, mangsa dilihat cuba melintas laluan berkenaan menghala ke arah Aeon Bandar Baru Klang.

Katanya, mangsa yang secara tiba-tiba melintas bagaimanapun dilanggar oleh sebuah kereta yang datang dari arah Meru menghala ke Shah Alam selepas pemandunya gagal mengelak.

"Akibat perlanggaran, mangsa maut di tempat kejadian dan mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan polis masih menjalankan untuk mengenalpasti punca sebenar kemalangan," katanya ketika dihubungi.

Nor Omar berkata, waris mangsa bagaimanapun gagal dihubungi berikutan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mangsa.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati mangsa adalah rakyat tempatan dan mempunyai tatu burung merak di bahagian dada kiri.

"Sehubungan itu, waris atau orang awam yang mengenali mangsa diminta menghubungi Pengawai Penyiasat IPD Klang Utara, Inspektor C Navin, di talian 03 32919540," katanya.

Berita Harian X