Selasa, 22 March 2016 | 9:26pm

STAGG tahan 36 GRO, kaki judi

KUALA LUMPUR: Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman menahan 36 individu membabitkan pelayan pelanggan (GRO) warga asing dan kaki judi menerusi 11 serbuan di sekitar ibu negara dan Selangor, semalam.

Dalam serbuan bermula 4 petang hingga 9 malam itu, STAGG turut merampas 166 komputer dan sembilan komputer riba.

Ketua Penolong Pengarah STAGG, Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata operasi itu dijalankan berdasarkan risikan dan maklumat awam bagi membanteras kegiatan perjudian dan maksiat di negara ini. 

"Kita menahan tiga penjaga premis dan 15 wanita pelayan pelanggan (GRO) dalam serbuan di tiga premis pusat urut dan karaoke di Klang, Selangor membabitkan warga Vietnam, Indonesia dan Thailand.

"Serbuan di Desa Melawati, Kepong dan Sepang, seramai 18 penjaga dan kaki judi bersama beberapa peralatan komputer yang digunakan untuk kegiatan itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairi berkata, premis pusat judi berkenaan didapati beroperasi tanpa lesen dan dikawal oleh kamera rakaman litar tertutup (CCTV) yang hanya pelanggan tetap saja boleh memasuki premis mereka.

"Wanita pelayan pelanggan yang digajikan pemilik premis juga dilanggan untuk perkhidmatan seks," katanya.

Beliau berkata, semua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju, Klang Selatan, Sepang dan Sentul untuk siasatan lanjut.

Berita Harian X