Isnin, 28 March 2016 | 2:05pm

Koperal mengaku tidak salah terima rasuah RM4,000

ARIFFIN (tengah) diiringi pegawai SPRM selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima rasuah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
ARIFFIN (tengah) diiringi pegawai SPRM selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima rasuah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

AYER KEROH: Seorang koperal polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tuduhan menerima rasuah, Januari lalu.

Tertuduh, Ariffin Md Sharip, 45, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar, sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Ariffin didakwa meminta suapan rasuah RM4,000 daripada Johaidi Muhamad sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas kereta PROTON Persona dan Wira serta sebuah motosikal HONDA Wave walaupun mengesyaki Johaidi memiliki kenderaan itu secara tidak sah, pada jam 6 petang di Balai Polis Tengkera di sini, 21 Januari lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohammed Heikal Ismail mencadangkan jaminan RM8,000. Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Haslinda Abu Bakar merayu jaminan dikurangkan dengan alasan ada empat anak untuk ditanggung.

Ahmad Sazali kemudian menawarkan jaminan RM7,000 terhadap tertuduh dan menetapkan 11 April ini, untuk sebutan semula kes.

Berita Harian X