Jumaat, 1 April 2016 | 1:12pm

Pelajar USIM ronda jaga keselamatan

Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad
Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad

BANDAR BARU NILAI: Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kini turut membantu menjaga keselamatan universiti itu dengan menyertai program rondaan yang dikenali dalam bahasa Arab sebagai Assas atau Penjaga.

Rondaan dijalankan antara Isnin hingga Jumaat dengan dua giliran waktu bertugas, iaitu jam 12 tengah malam hingga 2.30 pagi dan antara jam 2.30 pagi hingga 5 pagi.

Setiap rondaan membabitkan tiga petugas bersama pengawal keselamatan USIM.

Penolong Pendaftar Pusat Komunikasi Strategik USIM, Mohd Zaini Othman, berkata konsep ini sudah biasa dilaksanakan di universiti luar negara dikenali sebagai 'Student Watch', dan USIM ingin menjadi kampus pertama melaksanakan konsep itu di negara ini.

Katanya, rondaan itu disertai seramai 370 pelajar badan pakaian seragam USIM, iaitu Kor Sukarelawan Siswa Siswi Polis (Kor SUKSIS), Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA), Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) dan Bulan Sabit Merah (BSM).

"Sebagai langkah permulaan, rondaan dilakukan di tiga kolej kediaman pelajar, iaitu Kolej Kediaman Satu, Kolej Kediaman Nilam Court dan Kolej Kediaman Sutera Indah.

"Penyertaan pelajar adalah berbentuk kesukarelawanan berstruktur yang diberikan kredit dalam modul pembelajaran dan kejurulatihan badan pakaian seragam USIM," katanya.

Beliau berkata, program itu yang dimulakan sejak 18 Mac lalu, dilancarkan secara rasmi oleh Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad di Kolej Kediaman Satu, malam tadi.

Katanya, setiap petugas dibekalkan dengan pakaian seragam khas, lampu suluh dan wisel.

Berita Harian X