X
Rabu, 13 April 2016 | 11:05am

PGA tingkat kawalan susulan ketegangan di selatan Filipina

PENGARAH Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim .- Foto Abdullah Yusof
PENGARAH Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim .- Foto Abdullah Yusof

PAPAR: Pasukan Gerakan Am (PGA) sentiasa bersiap sedia bagi mengekang kemungkinan ada cubaan kumpulan militan dari selatan Filipina menyusup masuk ke negeri ini, susulan pertempuran tentera negara itu dan militan di wilayah berkenaan.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim, berkata ini termasuk merangka beberapa perancangan dalam usaha mengetatkan kawalan di persempadanan antara dua negara.

"Seperti kita tahu, pihak keselamatan Filipina sedang memerangi kumpulan militan di selatan negara itu susulan beberapa kes penculikan. Melihat keadaan itu, pasukan keselamatan negara khususnya PGA bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan jika ada 'limpahan' atau cubaan lari ke negara ini.

"Kita akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk merancang pelbagai tindakan termasuk menambah anggota dan mengetatkan kawalan terutama di perairan timur Sabah susulan keadaan di negara jiran," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perbarisan sempena persaraannya di Ibu Pejabat Briged PGA Sabah di Kinarut, di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir ialah Komander PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Zainudian Samsul Hadi.

Dalam pada itu, Muhammad Fuad berkata, PGA merancang menambah satu lagi Batalion baharu di Sabah iaitu di Kunak.

"Batalion 20 PGA di Beluran hampir penuh dan kita merancang menambah satu lagi Batalion baharu di Kunak. Usaha ini untuk melengkapkan keselamatan di timur Sabah khususnya Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM)," katanya.

Berita Harian X