Rabu, 27 April 2016 | 6:56pm

Ada unsur khianat 16 motosikal terbakar - Polis

PASUKAN forensik memeriksa motosikal yang terbakar di kawasan letak kenderaan aras bawah Apartmen Saujana Damai di Sungai Tiram di Georgetown, tengah malam tadi. - Foto BERNAMA
PASUKAN forensik memeriksa motosikal yang terbakar di kawasan letak kenderaan aras bawah Apartmen Saujana Damai di Sungai Tiram di Georgetown, tengah malam tadi. - Foto BERNAMA

GEORGETOWN: Kebakaran yang memusnahkan sebuah kereta dan 16 motosikal di kawasan letak kenderaan aras bawah Apartmen Saujana Damai di Sungai Tiram di sini, tengah malam tadi, dipercayai mempunyai unsur khianat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Nor Salawati Saad, berkata kebakaran kira-kira jam 12.40 tengah malam itu dipercayai didalangi tiga lelaki yang menceroboh ke kawasan berkenaan.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pintu pondok pengawal keselamatan, tiga suspek dikesan memasuki perumahan itu sebelum berlari ke kawasan letak kenderaan kira-kira 20 saat sebelum kebakaran berlaku.

"Suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum bergegas keluar meninggalkan bangunan apartmen itu dengan menaiki motosikal," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Difahamkan, beberapa bahan bukti ditemui di kawasan letak kenderaan itu dan disyaki digunakan suspek bagi tujuan khianat.

Berita Harian X