X
Isnin, 9 Mei 2016 | 11:51pm

4 maut, 1 parah kereta bertembung dekat Renok

ORANG awam membantu mengeluarkan mangsa yang terbabit dalam kemalangan itu. - Foto ihsan pembaca
ORANG awam membantu mengeluarkan mangsa yang terbabit dalam kemalangan itu. - Foto ihsan pembaca

GUA MUSANG: Empat lelaki maut dan seorang parah selepas kereta dinaiki mereka bertembung kereta lain dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 10, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Renok, di sini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah, berkata nahas berlaku pada kira-kira jam 7.30 malam.

Katanya, semua mangsa yang dipercayai warga Indonesia, dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) di sini.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Camry dipandu seorang lelaki dari arah Gua Musang memasuki laluan bertentangan selepas mengelak lembu yang tiba-tiba melintas jalan. Akibatnya, kereta itu bertembung dengan Proton Iswara dinaiki lima mangsa dari arah Kuala Krai.

"Empat daripada mereka maut, manakala seorang parah. Pemandu Toyota Camry turut cedera," katanya ketika dihubungi di sini, tadi.

Beliau berkata, identiti semua mangsa terbabit masih dalam siasatan.

Berita Harian X