Selasa, 17 Mei 2016 | 11:52pm

Suami isteri serah diri bantu siasatan kes pukul 3 pekerja

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri yang dikehendaki polis kerana didakwa memukul tiga pekerja mereka di sebuah asrama di Fortune Perdana, Kepong pada 8 Mei lepas, menyerah diri hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R Munusamy, berkata pasangan berusia 30-an itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, pada pukul 8 malam manakala isterinya pada pukul 4.30 petang.

"Kedua-dua suspek akan direman esok untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 9 Mei lepas, polis menerima laporan daripada seorang pekerja wanita berusia 28 tahun yang mendakwa dia dan dua wanita rakan sekerjanya dipukul majikan mereka menggunakan kayu sehingga cedera.

Semalam, Munusamy berkata kedua-dua suspek yang menjalankan perniagaan secara dalam talian, telah menghilangkan diri selepas kejadian itu.

Suspek turut didakwa bertindak kejam dengan merakamkan gambar bogel mangsa dipercayai untuk dieksploitasikan.

Munusamy berkata, pasangan suami isteri itu dikatakan memukul ketiga-tiga mangsa kerana menuduh mereka mencuri wang syarikat sebanyak RM18,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. - BERNAMA

Berita Harian X