Rabu, 18 Mei 2016 | 5:25pm

Ahli perniagaan buat panggilan bom palsu ditahan

KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah. - Foto Roslin Mat Tahir
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah. - Foto Roslin Mat Tahir

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan dari Johor Bahru ditahan pagi tadi, selepas didakwa membuat panggilan ancaman bom terhadap sebuah pesawat komersial semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah, berkata tangkapan ke atas suspek berusia 41 tahun itu dibuat pada jam 8 pagi tadi di sebuah rumah di Taman Bukit Permata, Batu Caves, Selangor.

"Siasatan lanjut masih dilakukan bagi mengenal pasti motif suspek membuat panggilan itu dan perintah reman terhadapnya akan dipohon esok.

"Selain ahli perniagaan itu, kita turut menahan seorang lelaki di sebuah rumah di Pangsapuri Permai, Batu Caves malam tadi, namun dia sudah dibebaskan hari ini selepas diambil keterangan," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam semalam, sebuah pesawat komersial menuju ke Singapura terpaksa berpatah balik dan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang selepas menerima panggilan ancaman bom dalam pesawat itu.

Pesawat membawa 30 penumpang dan empat anak kapal itu berlepas dari LTSAAS pada jam 7.39 malam.

Bagaimanapun, kira-kira jam 8 malam, menara kawalan LTSAAS menerima panggilan daripada seorang lelaki tidak dikenali mendakwa terdapat bom dalam pesawat berkenaan.

Berita Harian X