Khamis, 19 Mei 2016 | 1:52pm

Sindiket edar dadah sekitar ibu negara tumpas

KETUA Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh (tiga dari kiri) bersama Pemangku Ketua Jabatan Nakotik, Mohd Faisal Yahya (dua dari kiri) dan Ketua Polis Daerah Sentul, Munusamy Rengasamy (tiga dari kanan) menunjukkan pistol yang dirampas bersama barang kes pada Sidang media yang diadakan di IPK, Kuala Lumpur. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
KETUA Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh (tiga dari kiri) bersama Pemangku Ketua Jabatan Nakotik, Mohd Faisal Yahya (dua dari kiri) dan Ketua Polis Daerah Sentul, Munusamy Rengasamy (tiga dari kanan) menunjukkan pistol yang dirampas bersama barang kes pada Sidang media yang diadakan di IPK, Kuala Lumpur. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki dipercayai ahli sindiket dadah yang aktif mengedar bahan terlarang itu di sekitar ibu negara ditahan dalam dua serbuan di Taman Dutamas, di sini, Selasa lalu.

Dalam serbuan pertama, polis menahan seorang lelaki berusia 27 tahun di kawasan tempat letak kereta kondominium berkenaan dan merampas dua kunci rumah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata berpandukan maklumat suspek, pihaknya kemudian memeriksa unit di kondominium itu dan merampas empat paket syabu seberat 3.63 gram, empat biji pil ecstasy (1.52 gram), satu paket ganja (0.97 gram) serta dokumen perjanjian rumah.

"Soal siasat terhadap suspek kemudian membawa kepada serbuan di sebuah lagi unit bersebelahan dan menahan dua lagi lelaki.

"Pemeriksaan lanjut di unit terbabit menemui 14 ketulan mampat dan 17 paket plastik ganja dianggarkan seberat 13.7 kilogram, dua paket heroin seberat 105 gram dan satu tong berisi cecair disyaki dadah.

"Turut dirampas adalah sepucuk pistol jenis Glock buatan Austria, satu kelopak berisi 10 butir peluru hidup dan satu bungkusan plastik berisi 36 butir peluru dengan nilai rampasan keseluruhan RM44,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Amar Singh berkata, selain itu polis turut menyita wang tunai RM1,200, dua kereta jenis PERODUA MyVi dan sebuah PROTON Wira bernilai RM66,000.

Katanya, ketiga-tiga suspek direman enam hari sehingga 23 Mei ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971.

Berita Harian X