Isnin, 23 Mei 2016 | 2:27pm

Ejen hartanah, teman wanita didakwa rompak pekerja

EJEN hartanah, Tan Hing Lian (kanan) dan teman wanitanya, Tan Joo Lee (kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Jalan Duta atas tiga tuduhan merompak serta mencederakan tiga pekerjanya, awal bulan ini. - Foto Hafiz Sohaimi
EJEN hartanah, Tan Hing Lian (kanan) dan teman wanitanya, Tan Joo Lee (kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Jalan Duta atas tiga tuduhan merompak serta mencederakan tiga pekerjanya, awal bulan ini. - Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Seorang ejen hartanah dan teman wanitanya, masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tiga tuduhan merompak serta mencederakan tiga pekerjanya, awal bulan ini.

Di hadapan Majistret Nur A'minahtul Mardiah Mohd Nor, Tan Hing Lian, 34, didakwa atas dua tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap pekerjanya, Lee Seat Yee, 30, dan Lim Mei Mei, 34, dengan menggunakan penyembur racun serangga dan alat renjatan elektrik.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Fortune Avenue, Jalan Metro Perdana, di sini, pada jam 6.30 petang, 8 Mei lalu dan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, Hing Lian dan teman wanitanya, Tan Joo Lee, 29, yang dihadapkan di hadapan Hakim Balqis Aini Mohd Ali, mengaku tidak bersalah merompak dan mencederakan Tricia Tan Yee Yee, 24, dengan memindahkan wang dari akaun mangsa secara online, pada jam 4.30 pagi, di tempat dan tarikh sama.

Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Berita Harian X