Isnin, 30 Mei 2016 | 1:32pm

APMM pertingkat operasi sepanjang Ramadan, Aidilfiri

TIMBALAN Ketua Pengarah Operasi APMM, Laksamana Muda Maritim Datuk Zulkifli Abu Bakar (kanan) melupuskan rokok seludup bernilai RM700,000 pada majlis perasmian penutup Ops Redback bersama Australian Border Forces (ABF) di Pangkalan APMM Batu Pahat, Batu Pahat, hari ini. - Foto Essa Yamin
TIMBALAN Ketua Pengarah Operasi APMM, Laksamana Muda Maritim Datuk Zulkifli Abu Bakar (kanan) melupuskan rokok seludup bernilai RM700,000 pada majlis perasmian penutup Ops Redback bersama Australian Border Forces (ABF) di Pangkalan APMM Batu Pahat, Batu Pahat, hari ini. - Foto Essa Yamin

BATU PAHAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan mempertingkatkan operasi di sepanjang Selat Melaka bagi mengesan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba mengambil kesempatan keluar dari Malaysia secara haram menjelang Ramadan dan Aidilfitri ini.

Timbalan Ketua Pengarah Operasinya, Laksamana Muda Maritim Datuk Zulkifli Abu Bakar, berkata langkah itu bagi memastikan PATI tidak dapat bolos keluar secara haram serta mengelakkan kejadian bot atau feri haram karam.

"APMM bersiap sedia mengawal perairan Selat Melaka, terutama dari Klang sehingga Johor bagi memastikan tragedi bot atau feri haram lebih muatan menyebabkan kematian PATI seperti sebelum ini, tidak berulang.

"Antara kawasan tumpuan atau 'hot spot' lain yang akan dipantau, termasuk Sedili dan Kukup di Johor, Langkawi di Kedah serta perairan Melaka-Dumai, Indonesia yang menjadi pintu keluar utama bot dan feri haram setiap kali Ramadan dan Aidilfitri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian penutup Ops Redback bersama Australian Border Forces (ABF) di Pangkalan APMM Batu Pahat, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Penguat Kuasa APMM Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Adon Shahlan; Ketua Penguat Kuasa APMM Pangkalan Batu Pahat, Leftenan Komander Muhammad Zulkarnain Abdullah dan Kaunselor Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan ABF, Sandra Jeffrey.   

Zulkifli berkata, operasi bersepadu sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri itu juga akan dijalankan bersama Jabatan Laut Malaysia bagi memastikan perairan negara kekal selamat, selain dapat mengerahkan operasi jika ada kes bot atau feri karam.

Berita Harian X